Kembali


Salam ukhuwwah... Salam Illah...

Ijlis bina wanu'min saah... Mari kita duduk sebentar, dan beriman sejenak...

Semalam tertidur dengan 2 kalimat yang benar-benar mengetuk hati di waktu yang tepat...
Tarikan keimanan, tarikan syaitan... Haih~ Sekarang masa untuk bangun! Ayuh bergerak!

"Berdoalah supaya beroleh ketenangan dan pemeliharaan. Yakinlah, kamu sebenarnya cukup hebat! Hebat jika meninggalkan kesedihan dan menggantikannya dengan semangat pengislahan diri yang jitu dan mantap."
(Ukht Adelaide, 2009)

Sedang kemas meja, terjumpa nota kecil ini. Peringatan daripada seorang ukht yang saya sayangi dan cintai.

Hebat. Benar. Nak jadi hebat! Hebat bukan hanya daripada kehebatan kata-kata. Hebat bukan hanya daripada kebasahan tinta. Hebat bukan hanya daripada semangat di jiwa. Namun, hebat atas kekuatan hati. Hebat kerana tenggelam dalam keimanan kepada Pencinta yang Agung, Ya Illahi.

Nak jadi hebat, ingat senang ke? Tidak. Jalan ni tak pernah menjanjikan tilam-tilam empuk, permaidani merah, wangian bunga-bungaan, sanjungan dan pujian orang-orang. Tidak kan pernah sama sekali.

Jalan ini sentiasa dipenuhi bukit-bukau, rumput rampai, onak dan ranjau, duri yang berbisa, cemuhan, herdikan, kelukaan. Ada yang terkadang diperlekehkan, ada yang terkadang poket kering kontang, ada yang terkadang dipenuhi kesedihan, ada yang terkadang perlu berkorban. Jadi, apa yang indahnya berada di jalan ini? Rasanya semua orang tahu. Cuma terkadang kita mengalihkan pandangan daripada kenyataan yang terang-benderang. Kerana kurangnya kesabaran dalam penantian. Sebuah penantian kepada janji Tuhan. Dek kerana terlalu sayang kepada fatamorgana keduniaan.


Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kemenangan yang agung.
(Yunus: 62-64)


Tazkirah demi tazkirah. Peringatan demi peringatan. Kenapa perlu mengulang baris kata-kata yang sama. Pesanan yang sama. Isi yang sama. Maksud yang sama. Kerana manusia itu lahir dengan fitrahnya. Lemah ingatan. Lemah keazaman.

Sekarang perlu menapak dengan lebih berani. Lebih matang. Lebih keyakinan. Masa untuk bermanja-manja sudah hilang. Masa untuk hanya bergelak ketawa sudah kehabisan.

Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
(As-syahid Imam Hassan Al-Banna)

Islam adalah untuk jiwa-jiwa yang mencari.

Wahai hamba yang hina. Wahai hamba yang alpa. Belum cukupkah nikmat-nikmat Allah yang melimpah ruah. Belum cukupkah kasih sayang Allah yang tak pernah kenal erti penat lelah. Belum cukupkah perlindungan Allah sepanjang jalan tarbiyyah.





Muslimah yang hebat...
Kenapa? Kerana Islam itu hebat. Dan hanya boleh dipikul oleh orang-orang yang hebat.

Muslimah yang hebat...
Adalah muslimah yang memberi kekuatan. Bukan yang melemahkan. Bukan yang menyusahkan. Bukan yang meminta dimanjakan. Bukan yang hanya membutuhkan perhatian.

Muslimah yang hebat...
Menulis tinta sebagai seorang mujahidah. Bukan seorang insan yang menulis masalah. Bukan seorang insan yang menulis saat rebah. Bukan seorang insan yang menulis resah dan gundah.

Pernah terfikir. Kenapa diselamatkan? Kenapa ditunjukkan jalan? Kenapa dipermudahkan perubahan? Kenapa diberikan peluang?

~PerancanganNya adalah yang terbaik~

0 Response to "Kembali"