Cinta Terindah


Cinta bersenikan diam...
Itu cinta terindah. Bila mana yang tahu hanya aku dan Dia. Tiada yang berstatus hamba yang tahu selain aku dan Khaliqku. Itu cinta terindah.
Jadi,
Lafaz itu aku biarkan tersimpan.
Tersimpan kemas, tertutup rapi.
Biar yang tahu, aku dan Khaliqku.

Tapi terkadang ada cinta yang perlu dilafazkan.
Terkadang ada cinta yang perlu diluahkan.
Biar dia tahu.
Biar semua tahu.
Bahawa aku cinta dia.


Adelaide, 14 Februari 2009.

7.25 am, Lokasi: Adelaide airport

Pertama kali menjejakkan kaki di tanah Bumi asing. Disebabkan makanan yang di bawa, aku terpaksa beratur panjang untuk diperiksa. Malas. Kena bukak beg. Dah la besar, berat pulak tu. Lagipun kalau bukak, emm... susunan dalam beg yang agak " serabut". Jadi, kena bukak kecik2 je. Keluarkan makanan-makanan semua. Kalau tahu macam ni, lepas ni malas nak bawak makanan dah. Senang, lepas dah semak passport, terus boleh keluar je ikut arrival gate tu.

Aku antara yang terakhir keluar daripada imigresen berbanding kawan-kawan yang lain. Dan di luar arrival gate, aku bertemu dia. Pertemuan kami yang pertama. Dia yang di temani temannya.

Kawan-kawan semua sedang sibuk menelefon keluarga masing-masing. Aku? Hanya handset yang aku bawa ke Adelaide. Tanpa sim card. "Alamak, lupa pulak. Kan boleh roaming!" Sim card yang ditinggalkan di Malaysia. Dengan harapan tak nak bagi no mati (Walaupun akhirnya sekarang dah guna no lain). Aku cuma mampu memandang simpati kawan-kawan yang lain. Kalau nak pinjam, mesti mahal bil telefon nak bayar ni. Malaysia tu. Jauh. Hmm, hanya mampu mengeluh dalam hati.

"Adik dah call parents?" Dia yang bagaikan dapat membaca isi hati. " Err... Belum. Tak bawak sim card la akak."
"Nah, ambik handset akak. Call la parents. Beritahu mak ayah, adik dah sampai Adelaide. Jadi, takde la diorang risau sangat." Lembut ucapan yang disertai senyuman. Senyuman itu yang aku bakal rindui.

Pertemuan pertama aku dan dia. Antara suratan atau kebetulan. Tapi, aku yakin. Ini sebuah pertemuan yang telah ditentukan dalam catatan Tuhan. Pertemuan aku dan dia.


Adelaide - Sydney - Canberra - Perisher Valley - Melbourne - Great Ocean Road - Adelaide
5 Julai 2010 - 11 Julai 2010

Kembara musim salju aku dan dia. Kembara mengenal Pencipta. Kembara yang merapatkan aku dan dia. Teringat saat-saat aku menggelabah, akan ku panggil, "akak...". Saat aku cemas, "akak...". Saat ku bimbang, "akak...". Saat ku sedih, "akak...".


Brompton, 11 Julai 2010.

Akhirnya tiba di Adelaide selepas seminggu kembara alam, dan yang nyata... eksplorasi hati.
Gembira tiba akhirnya.
Syukur kembara sampai ke destinasi.
Sayu akan penghabisan.
Bimbang akan kesilapan.
Sebak akan ujian Tuhan... Dan tetap dia juga yang menenangkan. "Akak...".

Rupanya bukan hanya aku yang diuji. Dia yang begitu tabah. Dia yang menjaga aku, dan mereka. Aku seorang perempuan. Mungkin sebab itu jiwa rapuh. Namun terkadang aku yang lupa. Dia juga perempuan. Dan juga mereka. Brompton jadi saksi. Tangisan bersama, tangisan di atas laluan tarbiyyah. Tangisan di atas ikatan ukhuwwah. Terima kasih Allah.


Enfield CC, 31 Julai 2010.
D----H Tafsir FZQ

Rehat untuk makan tengahari dan solat Zohor, Lokasi: Dapur ECC

"Akak, macam mana nak jadi matang?" Soalan yang sentiasa terngiang-ngiang dalam benak fikiran.

Dengan senyuman itu lagi, "Awak akan jumpa jawapannya dalam d----h ni. Lepas habis program, awak bagitau akak. As homework." Kaget aku. Lepas ni kena fokus!

Bila program bersambung, aku tekun meneliti setiap isi kandungan kertas itu. Langsung tak pernah terselit perkataan matang. "Mana jawapannya ni?" bisik aku dalam hati. Tak pernah sefokus ni dalam mana-mana d----h pun sebelum ni. =)

Malam tu, aku "mengulangkaji" lagi kertas FZQ tadi. (study untuk exam pun tak semangat macam ni. Adeh...) Dah beberapa kali baca, masih tak jumpa perkataan matang. "Haih, mananya ni. Akak kata suruh cari dalam ni." Aku menggaru-garu kepala yang tak gatal.

Bila dah penat, aku buka kembali daripada muka surat pertama. Kali ni, bukan untuk mencari perkataan "matang", tapi terasa untuk menghadam isi kandungan.

Bila habis, lama aku berfikir. Handset ku ambil.

Create new message:

Salam, emm... akak. Tentang homework tu, saya tak jumpa direct maksud matang dalam FZQ ni. Tapi, saya dapat jawapannya. Cuma tak pasti. Betulkan kalau saya silap, ek akak.

Matang tu adalah bila saya berada di jalan ni..... (jawapan seterusnya dirahsiakan)

Send.

Esoknya, dia membalas. Dengan jawapan yang menenangkan. Dengan sebuah jawapan yang meyakinkan.

Dah nak taip msg, taip kat laptop lagi best hehe... btul la apa yg awk kata tu, no specific cara pon.. satu yg sampai sekarang akak pegang... jalan yg kita pilih ni akan bantu kita jadi matang... kematangan tu sendiri kita kena clear apa erti sebenarnya... may Allah guide us all dear...

Ini jalanku. Alhamdulillah.


Flavours of India, 17 Mac 2011.

Aku bertemu dia lagi. Dia yang aku rindui. Dan bakal benar-benar merindui. Pulangnya seorang demi seorang jiwa yang ku mampu meluahkan kata-kata. Berkongsi rahsia. Bergelak tawa. Jiwa yang mampu aku berbicara basah tentang T & D. Selepas M, F menyusul. Dan sekarang dia. Terasa kekosongan di sisi. Aku juga ingin pulang. Sekarang mula terasa sakit. Tak ingin melelapkan mata, bila ianya tetap sakit.


Baitul Barokah, 18 Mac 2011.
Sekarang, 1.06 am

Sebenarnya nak menulis malam esok. Tapi, tak berkesempatan.

Teringat pesanan dia tadi. Sisa-sisa waktu yang Allah peruntukkan di sini, gunakan sebaik mungkin untuk mengisi kantung bekalan. Moga cukup kuat untuk dibawa pulang. Sedikit waktu lagi.

Sebuah lafaz yang tak ingin disimpan. Biar diluahkan.

"Akak... uhibbuki fillah! Abadan abada."

Moga bertemu dalam doa rabithah aku, dia dan mereka.

Kekuatan selepas keimanan itu adalah ukhuwwah... Fillah...


~HN~

1 Response to "Cinta Terindah"

  1. immaia410 says:
    March 18, 2011 at 6:26 AM

    “Dan Dia (Allah) yang Mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah Mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Al-Anfal:63)