7.54 pm
Dear fwens,
Alhamdulillah. Saya selamat sampai ke rumah akhirnya petang tadi selepas berjaya menjalani Mukhayyam yang bermula pagi semalam dan majlis penutupnya di adakan tengahari tadi. Entry saya kali ni bukan untuk bercerita pasal mukhayyam tu lagi. Kalau berkesempatan, malam nanti atau pagi esok akan saya kongsikan dengan sahabat sekalian pengalaman yang manis itu. InsyaAllah.
Okey la. Tak nak cakap panjang, tapi entry yang sebelum ni saya ada bercakap pasal hati kan. Sebab hati tu adalah raja bagi seluruh anggota badan. Jadi, saya telah minta pendapat pasal perkara ini daripada orang yang lebih arif untuk jelaskan pasal perkara ni. InsyaAllah, nasihat daripada ustaz saya kongsikan bersama di sini. Mudah-mudahan kita terutama buat diri yang masih lemah ini, sama-sama mengambil pengajaran darinya dan berusaha untuk sama-sama mengamalkan nya, insyaAllah..ini adalah langkah-langkah menuju ke jalan Allah yang satu...
..........................................................................................................................................................................
Hati atau nama lain yang di sebut sebagai ‘latifah rabbaniah’ merupakan ketua kerajaan dalam jasad tubuh manusia, dan wadah tempat terletaknya petunjuk atau hidayah Allah Taala. Manakala nafsu dan akal pula dianggap sebagai penasihat paling kanan pada hati, nafsu yang sihat dan terdidik pasti akan membawa pada kebaikan, dan akal yang terpimpin dengan ilmu dan wahyu akan mencernakan tindakkan yang wajar diambil oleh hati.
Nabi junjungan pernah bersabda: “Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada segumpal darah (daging), apabila segumpal darah (daging) itu baik maka baik pula sekalian anggota tubuhnya serta perbuatannya, sebaliknya apabila segumpal darah (daging) itu buruk maka buruk pula sekalian anggota tubuhnya dan perbuatannya. Ketahuilah, ianya adalah hati" (Hadith Riwayat Muslim)
Memperbaiki hati tidak akan sempurna jika kita membiarkan segala bentuk kecacatan, kecelaan dan keaiban yang mengotori dan menguasainya seperti sifat riak, sombong, dengki, ujub, takabur dan sebagainya.
Mendandan hati tidak cukup hanya dengan menampakkan keindahan lahiriah, sementara di sebalik itu tersembunyi nafsu syahwat yang buas.. Lahir dan batin mesti sehala, kebersihan hati menjadi asas kelurusan perilaku atau akhlak. Perilaku mulia lahir dari ‘Qalbu’ yang bersih. Kebaikan akhlak tanda kewarasan jiwa, penyimpangan dari akhlak yang lurus dan luhur merupakan isyarat sakitnya jiwa.
Meluruskan jiwa yang tidak waras sama halnya dengan mengubati tubuh lahiriah yang sakit. Bagi mereka yang berbadan yang sihat, doktor tidak perlu merawatnya dengan ubat-ubatan, cukup baginya menyediakan aturan memelihara kesihatan. Tetapi, bagi mereka yang tubuhnya sakit, doktor mesti berikhtiar mencari jalan untuk menyembuhkannya. Mengenalpasti penyakit, lalu mengubatinya agar penyakit itu hilang.
Perilaku buruk lahir dari jiwa yang sakit, dan untuk mengubati jiwa yang sakit ini selain mendekatkan diri kepada Allah Taala juga perlu mengubati perilaku buruk tadi dengan menggantikannya kepada yang baik (sifat terpuji). Seperti juga, penyakit bodoh diubati dengan memberi pengetahuan dan pelajaran, penyakit kedekut diubati dengan latihan mengamalkan sifat pemurah, penyakit sombong diubati dengan membiasakan diri dengan sifat tawadhu', penyakit tamak diubati dengan latihan menahan diri dari segala yang menimbulkan keinginan tanpa ada keperluan, dan membiasakan diri bersedekah ke jalan Allah Taala, begitulah seterusnya.
Hati tidak boleh dijernihkan hanya dengan ceramah, perbincangan, halaqah mahupun usrah tetapi lebih dari itu, inilah yang dikatakan sebagai "tarbiah yang berterusan". Di sinilah
seseorang bukan hanya perlu mendengar nasihat-nasihat, tetapi kadang-kadang latihan-latihan tubi yang berat untuk mengubati penyakitnya perlu disusulkan.
PENAWAR NURANI (HATI)
Dalam memberi ubat, seorang doktor atau murabbi tidak boleh memberi kepada pesakitnya dos yang berlebihan kerana kelak ia boleh merosak tubuh, begitu juga sebaliknya. Tidak boleh dos kurang sehingga menyebabkan pesakit tidak juga sembuh. Hati yang sudah terlatih, sudah pasti sudah memadai dengan hanya latihan ringan tapi berterusan agar ianya tidak menjadi racun pada diri sehinggakan jemu untuk melakukannya. Namun begitu, rencana tersusun dan terancang akan menjamin sebuah portrait perjalanan yang indah lagi selamat.
Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga, sanak saudara terdekat dan seumpamanya.
Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama dan setelah memperolehi sesuatu nikmat, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai babak, aksi dan watak dalam filem kesukaan mereka.
Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan kelompok manusia yang menangis kerana takutkan Allah Taala sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta dan kita sebagai seorang hamba, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiah seperti yang dialami oleh tokoh-tokoh silam.
Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah Taala. Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah Taala.
Justeru, baginda Rasulullah s.a.w pernah memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud: "Wahai Ali,jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama (seperti meuntut ilmu),maka mereka akan ditimpakan oleh Allah Taala dengan dua implikasi semasa hidup mereka, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar”
Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunujukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama’ untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara: hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah Taala malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam, membenci ulama', menderhaka kepada kedua ibu bapa, bahkan berani melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggap sebagai jenayah besar di sisi Allah Taala. Mereka inilah yang akan menempah azab api seksaan neraka yang amat memeritkan di Hari Akhirat kelak.
KESIMPULAN
Buatlah pertimbangan wajar sebelum bertindak berdasarkan panduan akal yang sihat dan berbekalkan ilmu yang ada di dada, kurang pada ilmu bukan alasan kita tidak boleh menjernihkan keadaan tapi malas memfungsikan MAHU lantas gagal mencetuskan rasa ingin TAHU pada ilmu-Nya.
.....................................................................................................................................................................
Terima kasih kepada beliau yang sudi memberi nasihat ini. Jazakallahu khairan. Dan kepada sahabat2, moga kita sama-sama berusaha untuk membersihkan hati kita, agar segala amal yang kita buat di dunia ini diterima Allah dan dapat dijadikan bekalan untuk sepanjang perjalanan menuju ke syurga Illahi..amin..
p.s: buat diriku...moga kata seiring dengan amal...ilmu tanpa amal bagaikan pohon yang tidak berbuah.
0 Response to "Bersihkan hati cont.."
Post a Comment